Dua lelaki bersaudara bekerja di sebuah
kilang kicap dan sama-sama belajar agama Islam untuk sama-sama
mengamalkan ilmunya dalam kehidupan sehari-hari sebanyak mungkin.
Mereka berjalan kaki mengaji ke rumah gurunya yang jaraknya sekitar 10 kilometer dari rumah peninggalan orang tua mereka.
Suatu ketika si abang berdoa
memohon rezeki untuk membeli sebuah kereta supaya dapat digunakan
sebagai pengangkutan dia dan adiknya untuk memudahkan mereka pergi
mengaji. Allah mengabulkannya. Tidak lama kemudian sebuah kereta dapat
beliau miliki hasil daripada bonus pekerjaannya.
Lalu si Abang berdoa memohon
seorang isteri yang sempurna. Lalu Allah mengabulkan permintaannya.
Tidak lama kemudian si abang bersanding dengan seorang gadis yang
cantik serta baik budi bahasa serta perangainya.
Kemudian berturut-turut si Abang
berdoa memohon kepada Allah akan sebuah rumah yang selesa, pekerjaan
yang menyenangkan, dan lain-lain lagi dengan tekad supaya beliau lebih
mudah untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Dan Allah mengabulkan semua doanya itu.
Sementara itu, si Adik tidak ada
perubahan sama sekali. Hidupnya masih sama seperti dahulu. Tetap
sederhana. Masih lagi tinggal di rumah peninggalan orang tuanya yang
suatu ketika dulu pernah menempatkan beliau bersama dengan abangnya.
Namun kerana abangnya seringkali sibuk dengan pekerjaannya, beliau
tidak dapat mengikuti pengajian dan si Adik pula seringkali berjalan
kaki untuk mengaji ke rumah guru mereka.
Suatu ketika si Abang merenung
dan membandingkan perjalanan hidupnya dengan perjalanan hidup adiknya,
dan dia teringat adiknya selalu membaca selembar kertas apabila beliau
berdoa; menunjukkan adiknya tidak pernah menghafal bacaan untuk berdoa.
Lalu datanglah si Abang kepada
adiknya untuk menasihati adiknya supaya selalu berdoa kepada Allah
dengan bersungguh-sungguh untuk membersihkan hatinya kerana dia
merasakan yang adiknya masih berhati kotor sehingga doa-doanya tidak
dikabulkan oleh Allah S.W.T.
Si Adik berasa terharu dan
bersyukur sekali mempunyai abang yang begitu menyayanginya, dan dia
mengucapkan terima kasih kepada abangnya atas nasihat yang berguna itu.
Hingga suatu saat si Adik
meninggal dunia. Si Abang terasa sedih kerana sehingga sampai ke akhir
hayat adiknya itu masih tidak ada perubahan pada nasibnya. Jadi beliau
merasa bimbang kalau adiknya itu meninggal dalam keadaan kotor hatinya
kerana doanya yang tidak pernah dimakbulkan oleh Allah S.W.T.
Si Abang menguruskan rumah
peninggalan orang tuanya sesuai dengan amanah adiknya untuk dijadikan
sebuah masjid. Tiba-tiba matanya tertumpu pada selembar kertas yang
terlipat di dalam sejadah yang biasa dipakai oleh adiknya yang berisi
tulisan doa. Diantara tulisan tersebut ialah surah Al-Fatihah, Solawat,
doa untuk guru mereka, doa selamat dan ada kalimah di akhir doanya:
“Ya Allah. Tiada
sesuatupun yang luput dari pengetahuan-Mu. Ampunilah aku dan abangku.
Kabulkanlah segala doa abangku, bersihkanlah hatiku dan berikanlah
kemuliaan hidup untuk abangku didunia dan akhirat.”
Si Abang berlinang air mata dan
haru-biru memenuhi dadanya. Beliau terharu dan tidak pernah menyangka
yang adiknya tidak pernah sekalipun berdoa untuk memenuhi nafsu
duniawinya.
.....................................................................................
* Moral daripada kisah ini ialah mungkin kejayaan kita pada hari ini adalah doa orang-orang yang sayangkan kita. Jadi janganlah kita berasa sombong dan megah.
No comments:
Post a Comment