Gambar

Sunday, July 17, 2011

Sebuah Penantian Pak Pandir




Pada suatu hari, Pak Pandir telah membeli sebuah motorsikal. Pergh ~ Bergaya sungguh dia menunggang motornya itu. Sampai di lampu merah semua kenderaan berhenti, termasuk Pak Pandir. Namun ketika lampu telah hijau dia masih terus berdiri. Dari hijau ke kuning, merah kemudian hijau lagi, dia masih belum menjalankan motornya. Akhirnya datang polis, “Hei… kenapa belum jalan?”

“Belum ada warna lampu yang saya sukai Encik,” jawabnya.

******************************************

Menanti sesuatu yang tidak pasti. Itulah yang dapat digambarkan dalam kehidupan manusia. Mereka hanya mahu sesuatu benda mengikut kehendak mereka sahaja. Graduan menganggur kerana hanya ingin kerja sesuai dengan taraf kelayakan mereka. Yang bujang membujang sampai ke tua kerana belum terjumpa pilihan idamannya. Hakikatnya, Allah telahpun membuka jalan dihadapan, tapi kita tidak inginkannya kerana tidak berkenan di hati.

Contohnya mereka lepasan universiti, banyak yang masih menganggur. Bukan semua, tetapi ada sebilangan mereka yang memilih kerja kerana berpendapat itu yang sesuai buat mereka. Ada kerja lain yang mereka dapat, tapi hanya kerana tidak menepati citarasa sahaja, lantas dinantikan sesuatu yang belum pasti. Bak kata Pak Pandir ” Belum ada warna lampu yang saya sukai Encik”.

Bersyukurlah apa yang kita dapat, itulah kunci utama. Jangan kerana kemahuan sahaja, kita melepaskan sesuatu yang ada. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Bukan tidak boleh memilih, tapi biarlah berpandukan akal fikiran, bukan mengikut keinginan hati. Tiada mustahil sesuatu yang kita dapat itu memandu kita kearah yang lebih baik lagi. Kan tuhan senantiasa ingin memberi yang terbaik buat kita? Semestinya tak akan keluar lampu isyarat lain melainkan merah, kuning dan hijau sahaja. Yang penting, banyakkan berdoa kepadanya, agar tidak was-was dalam memilih. Kerana perasaan was-was itulah yang digemari oleh syaitan. Ingat, bodoh itu adalah mereka yang menyalahgunakan akal!